Thursday, January 15, 2009

langitorial !


Buat pertama kalinya untuk dua tahun ini saya cuba sekali lagi untuk menulis kembali ruangan editorial untuk sebuah zine. Setelah boleh dikatakan hampir dua tahun juga No More Tears #2 muncul, tanpa ada sebarang informasi atau berita mengenai zine tersebut. Saya sekali lagi muncul untuk menulis dan mengedit, dan menghidupkan kembali diri dalam bidang penulisan. Untuk kali ini, saya telah menciptakan sebuah lagi zine baru hasil dari cebisan abu No More Tears dan East Rage, dan melahirkan sebuah nukilan baru yang diberi nama Prasasti Hujung Langit. Nama ini sangat unik bagi saya dari segi sebutan, malah juga dari segi maksud dan penggunaan ayatnya.
Prasasti bermaksud inskripsi atau juga dikenali sebagai Batu Bersurat yang menyampaikan mesej atau sesebuah cerita untuk tinggalan zaman. Sama seperti Bersurat di Terengganu. Dalam konteks Prasasti Hujung Langit ini, kita akan kembali pada zaman pemerintahan Melayu Kuno pada era sebelum munculnya kerajaan Melaka lagi. Ia lebih berkisar kepada pemerintahan Nusantara dan kerajaan-kerajaan lain di Indonesia pada zaman dahulu. Dari kajian dan pembacaan saya, di Asia Tenggara ini sahaja, terlalu banyak epik dan kisah sejarah yang sangat menarik untuk sama-sama kita kaji dan selidiki untuk tatapan kita di masa hadapan. Diketika semua orang ingin mengkaji epik-epik dari negara yang lebih jauh, saya berpendapat bahawa kita sepatutnya cuba untuk mengkaji sejarah dimana kita berasal. Dari sejarah inilah kita memulakan segala revolusi dan kebangkitan serta tamadun yang sentiasa terus berkembang dari satu tahap ke tahap yang lainnya. Saya melihat ini sebagai satu impak yang menarik untuk sama-sama dikongsi, kerana ia dapat memberi kita pengajaran dan iktibar seterusnya menerapkan semua ini dalam hidup.
Saya masih lagi dalam proses mengkaji kembali sejarah-sejarah menarik dan karya-karya sejarawan yang ada. Dan salah satu yang menarik ialah Prasasti-prasasti yang wujud pada zaman dahulu kala. Terdapat puluhan Prasasti-prasasti yang terkenal seiring dengan kebangkitan kerajaan-kerajaan zaman dahulu. Setiap kerajaan mempunyai epik dan prasasti-prasasti mereka sendiri, ia sebagai bukti kewujudan dan bagi menceritakan sejarah mengenai sesebuah negara/kerajaan terbabit. Dan Prasasti Hujung Langit ini sendiri membuktikan kewujudan sebuah kerajaan yang diberi nama Kesaktian Skala Brak.
Aduh, sangat panjang untuk diperhalusi setiap sejarah yang ada di Nusantara ini, jadi tidak perlu rasanya saya teruskan perbualan mengenai nama dan matlamat Prasasti Hujung Langit ini diciptakan. Sebarang idea dan perbahasan sangat dialukan dan digalakkan bagi menjalinkan satu jaringan yang lebih utuh dan resistensi. Terima kasih untuk membaca dan menghayati sesuatu dalam coretan pertama ini. Terima kasih!

Suatukebangkitandalammencaridirisendiri…(yang pernah hilang… atau mungkin sedang dicari dan dibina…)
Muncul sekali lagi setelah lebih dari setahun east rage tidak muncul dengan isu baru. ER#3 yang lepas menampilkan temuramah bersama diri saya sendiri oleh saudara Pitt, Domestik DDoktrin (diambil dari Attackfanzine) dan Extreme Hate (diberikan oleh saudara Hisham Goatcore). Tak banyak komen yang saya terima untuk isu tersebut. Lebih-lebih lagi ianya tidak terlalu banyak diedar/spread. Untuk pengetahuan anda semua, No More Tears # 2 sudah diriliskan berkat kerajinan secara tidak sengaja saya. Hahaha, memang nyata saya seorang yang pemalas, namun memandangkan semua isi yang ada sudah terlalu lama terperap, jadinya saya meneruskan usaha untuk meriliskan nya secepat yang mungkin. Ditambah pula setelah dua tahun ia tidak keluar apa-apa isu baru. Ia menampilkan temuramah bersama Eyeless (extreme crust metal, Itali), Cream Abdul Babar (weird orchestra electronic, Florida), sedikit puisi, biografi band, dan yang paling istimewanya ialah ia menampilkan satu komik pendek tanpa dialog oleh saudara Mael Katak aka Toad McFroggy. Untuk isu itu juga, saya telah cuba untuk menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa penghantar. Dan seperti yang saya nyatakan di dalam isu itu, mulai saat itu, saya akan menetapkan untuk menjadikan No More Tears sebagai english-zine manakala East Rage pula malay-zine berdasarkan bahasa penghantarnya.
Seperti yang sebahagian dari anda tahu, baru-baru ini saya ada mengalami kemalangan yang sememangnya tidak dapat saya elakkan. Mungkin bagi mereka yang tahu pasti akan tergelak jika pertama kali mendengar cerita berkenaan.

Jumaat,07102006,1830
Hari ini masuklah hari ketiga umat muslim menjalani ibadah puasa. Sambil menanti saat untuk berbuka, aku cuba untuk menitipkan sesuatu untuk zine. Selama tiga hari ini, aku rasakan tak banyak benda yang berlainan hari-hari yang aku lalui. Tapi semalam rasanya aku telah terkantol aka tak puasa untuk kali yang pertama, hahaha. Semalam juga menyaksikan satu hari di mana seorang rakan aku yang kelihatannya seakan-akan sengal dan lurus bendul sangat telah meluahkan segala isi hatinya kepada aku. Dah lama juga aku tak dengar luahan hati seseorang lebih-lebih lagi dari seorang gadis. Dan aku telah mencuba yang terbaik untuk menjadi seorang pendengar yang baik dan mencuba memberikan nasihat yang dirasakan perlu dan penting. Ketika itu, aku merasakan ingin sahaja aku menampar diri gadis tersebut atau mungkin aku patut menumbuk (ops, jahat sangat ke aku nih?) bila sahaja aku mengetahui segala-galanya tentang dia. Nak kata aku ni seorang yang moraliti, tak juga. Malah aku memang paling benci dengan benda tu. Tapi aku rasa, macam memang patut aku menampar dia atas apa yang dilakukan.
Baiklah, bila aku fikirkan balik, aku merasakan yang mana, keadaan dan persekitaran di negara malaysia yang kononnya diwar-warkan sebagai sebuah negara yang cukup menitik beratkan hal-hal berkaitan agama dan adat ini, aku rasa semakin lama aku makin tenggelam dan meluat. kalau lah adat dan agama tu seperti kaca, dah lama aku hempaskan, biar ia pecah menjadi satu debu-debu dogma yang bakal melukai setiap kaki dan tangan manusia-manusia yang dari kecilnya telah di dogmakan dengan semua unsur-unsur tadi. Ya, ortodoks, moraliti, adat dan bermacam lagi telah menjadi antara punca kehancuran umat manusia saat ini.

Penat berhadapan dengan kemanusian yang terus menerus berpegang dengan dogma masyarakatnya yang senantiasa mengejar keagungan tetapi mengalpakan segala bentuk pemikiran kritis dan bebas dalam bersuara dan berpendapat. Moraliti yang telah ditanam dan disebatikan semenjak lahiriah ini akan terus mencengkam dan menguasai darah dan hati manusiawi itu sendiri. Bangun wahai insani, bangun dan pandanglah dengan mata hatimu yang bakal menginsafi segala titis airmata para pencundang dan pendosa yang pada akhirnya kelak akan mengakui kesilapan meraka kerana diskriminasi dan dogma dari setiap dukungan budaya turun-temurun. Selamat datang masa depan, moga kau tetap menjadi teman setia kesilapan dan keangkuhan manusia dalam mengejar modernisasi dan kebijaksanaan tamak. Selamat datang dunia!!

Langitorial #2

Yups, rasa macam malas nak menulis blog dalam English, rasanya kebodohan dan kekurangan aku dalam hal tersebut semakin mengurang dan merudum? Haha..inflasi jatuh, keistimewaan aku dalam bahasa ni pun jatuh…hohoho…. Dah lama sangat tidak menaip apa-apa dan meluahkan isi hati aku yang selama ini aku pendam. Mungkin ada betul nya…aku dah tiada masalah cinta,masalah apa pun la tak kisah sangat, apa yang penting, dah lama aku tidak menulis…hari ini adalah hari pertama aku bekerja di tempat baru…. Huh, benarkah ini, hoho pada akhirnya aku memutuskan untuk berhenti dari pekerjaan yang selama ini aku pegang di syarikat berkenaan (pada mereka yang tahu…hoho…) banyak yang aku pelajari semasa bersama dengan syarikat tersebut…dari sejujur umat sehingga akhirnya kamu akan merasa kejujuran itu harus dibayar dengan setimpalnya… anda akan melalui satu tempoh pramatang barangkali dimana anda akan merasa anda seharusnya tidak boleh terlalu jujur sehingga anda bebas untuk dipergunakan dan di tindas dengan apa jua alasan sekalipun…yang pasti, jika anda tidak mampu untuk menentang nya dengan satu atau dua cara yang terangan, anda bisa lagi untuk melakukannya dengan cara yang lain…apa dia? Fikirkan yang terbaik untuk itu, terkadang appresiasi atau penghargaan dari segi hati, tindak laku dan kata-kata sangat penting dalam banyak hal. Sebagai contoh, jika anda telah berusaha memberi yang terbaik untuk segalanya, tetapi apa yang anda dapat tidak setimpal dengan apa yang anda kerjakan. Ada sebarang solusi? Mudah, jika anda bukan jenis manusia yang boleh melupakan segalanya dan mudah berdendam, banyak alternatif untuk mendapatkan apa yang dihajati dalam hati. Jika anda seorang yang dengan mudah bercakap dengan lantang mengenai hak anda…tahniah !!! tetapi mungkin tidak bagi segelintir dari manusia ini mempunyai sikap tersebut….maaf, kejujuran bisa dibeli dengan uang dan harta… cinta, kasih sayang dan segalanya masih bisa anda beli. Malah kejujuran sekalipun…apa yang penting ialah, anda tahu apa yang anda sedang dan akan lakukan. Anda tahu risiko nya jika anda membuat sesuatu keputusan. Jadi, jangan pernah menyesal dengan apa yang telah diputuskan, dilafazkan. Ambil risiko pada setiap kata-kata dan tindakan anda. Paling perlu diingat ialah…jangan segan melakukan kesilapan, kerna apa yang akan kita pelajari hanya lebih bermakna bila kita pernah melakukan kesilapan disebalik keputusan dan tindakan, penutup penting dalam hal ini,elakkan diri dan jangan sekali-kali melakukan untuk kedua atau mungkin ketiga atau mungkin berulang kali pada satu kesilapan yang sama… hari ini adalah satu perubahan dari pelajaran hari semalam, dan hari esok adalah kematangan kita pada hari ini untuk sedar akan segalanya tentang kesilapan dan kemunduran jiwa kita…
Dah menyimpang jauh dari apa yang ingin disampaikan… malam ini, ya, malam yang penuh dengan sejarah ini, 25 Julai 2006 buat pertama kalinya, titisan air mata ini kembali jatuh berlinangan dihembusan kesejukan malam yang senantiasa merindui kaseh dari insani untuk memeluk tubuh masing-masing. Indah sungguh air mata itu jika kamu bisa merasainya… indah, seindah apa sahaja yang terlintas dalam minda dan akalmu wahai insani. Tak perlu ada kata indah dan puitis untuk menggambarkan perasaan itu… tangisan tentang sesuatu yang sangat bermakna… mengapakah? Mudahnya kamu berkata? Hey, ingin kutanyakan kepada kamu, pernah tidak kamu merasakan yang kamu telah membuat satu keputusan yang salah pada akhirnya setelah kamu mengatakan ia adalah yang terbaek…? Pernah kamu merasakan kamu memilih sesuatu yang benar adanya? Pernahkan kamu menolak sesuatu yang lebih berharga hanya semata kamu ingin memiliki yang lainnya. Yang pada akhirnya kamu kecewa dengan keputusan tersebut? Hey, ini semua cabaran dan dugaan yang kamu harus lalui dalam perhimpunan manusiawi yang belum pernah puas dan adil…. Haha… mudahnya aku berkata…hey, bangsat ! Benarkah ini aku… setelah aku pilih kamu dan mereka, mengapa pada akhirnya aku merasa aku bukan aku, mengapa aku merasakan aku hanya cebisan sampah yang bisa kau campak dan ludahi. Benar ini aku memang bodoh? Cukuplah, aku sememangnya insani yang aslinya rapuh dalam banyak hal…

# abdul mutalib / prasastihujunglangit #01

BASI sebagai BASIS / ASAS !


Sangat menarik untuk memperkatakan hal kesibukan para rakan-rakan hadko pang yang lainnya dalam memperkatakan hal musik, komuniti dan pertunjukan besar atau kecil. Disini terlihat akan impak besarnya kepada komuniti hadko pang itu sendiri. Yang pada saya sangat menarik untuk diperbahas kerana ia bukan sesuatu yang berasaskan masa dan keadaan. Semua perkara asas yang dikatakan sudah BASI ini bagi saya sesuatu yang patut dititikberatkan dek hal kita hidup dengan berasaskan prinsip dan pegangan yang harus dimulai dengan akal serta idea-idea khusus. Walaupun ia tidak dinamakan prinsip atau idea khusus bagi sesetengah orang, inilah apa yang kita namakan asas bagi setiap perkara. Soalnya punk/hc itu membenci dan menetang sistem, tetapi sistem yang mana yang harus ditentang dan dibenci itu terletak ditangan mereka sendiri. Kerana setiap apa yang dilaksanakan itu sendiri adalah satu sistem, tetapi yang perlu dilawan ialah sebarang sistem yang menindas tidak kira secara sedar atau tidak sedar. Ya, LAWAN SISTEM YANG MENINDAS! Berfikiran logik dan bergantung kepada akal adalah lebih penting dalam memilih hala tuju keputusan yang ingin diambil. Suatu ketika dahulu, ketika saya baru berjinak dalam arena diy hc/punk ini, saya banyak dikejutkan dengan hal etika, kepercayaan, prinsip dan banyak lagi perkara asas yang harus dititik beratkan dalam mengular arus dunia subkultur ini. Ia bukanlah satu peraturan yang harus diikuti jika ingin bersama dan undang-undang asas, namum ia sendiri sebagai satu titik tolak untuk lebih mendisiplinkan diri, memberi kesedaran yang bisa saja tidak akan kita temui dalam kehidupan dunia normal(?) dalam komuniti lainnya. Sebagai contoh kesedaran tentang bahaya rasisme, sexisme, homophobic dan banyak lagi. Saya percaya saya mempelajari ia dari hc/punk dan ia adalah sangat saya akui akan kebenaran dimana mungkin tidak akan saya ketahui tanpa pengetahuan dan pendedahan yang mendalam. Jadi disini, saya ingin kita bersama menilai sendiri permasalahan pokok yang semakin kerap berlaku. Ia mungkin tidak lagi diendahkan kerana ramai merasakan semua isu dan permasalahan ini adalah perkara yang sudah basi dan tidak relevan untuk diperbincang dan ditekankan dalam komuniti dan kehidupan itu sendiri. Masalah seperti diskriminasi terhadap gologan gay/lesbian atau mungkin saya patut kata disini lebih kepada golongan gay sendiri. Masih hangat diperkata dan diperbahas oleh rakan dari Cinta Itu Buta mengenai diskriminasi dan penolakan total sebuah band indie tanahair yang menjadi kegilaan para remaja dan pendengar radio-radio tempatan. Hujan = Homophobic, saya melihat ini sebagai salah satu punca dari permasalahan perkara basi yang dianggap tidak relevan lagi untuk diperbincangkan oleh semua. Ia bukan masalah sama ada sesebuah band itu band indie atau hardcore, kerana saya ada mendengar satu statement dari rakan sebuah band hardcore yang mengatakan ia bukan masalah jika band indie itu sebuah band homophobic, kerana mereka bukan band hardcore. Oh, kedengaran seolah hanya band hardcore punk sahaja yang menolak homophobic, tetapi yang lainnya boleh. Kita bercakap soal hak asasi manusia hampir setiap hari. Ramai rasanya melaung anti perang, anti Amerika (apa? Ludah Amerika?) semua kerana diskriminasi yang dikenakan keatas orang lain. Tetapi pada masa yang sama anda semua berfikiran sempit dan konservatif dengan meletakkan pandangan buruk dan diskriminasi apabila seseorang itu memilih jalan hidup yang anda rasakan tidak normal dari biasa. Paling indah pula apabila ia hanya didoktrinasikan oleh fahaman cetek agama kamu dengan hanya menjelaskan bahawa agama dan tuhan kamu melarang secara total hal berkaitan. Konon katanya ia melanggar etika kehidupan dan norma kehidupan manusiawi. Aha, sangat cantik nampaknya. Tetapi bagaimana pula dengan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Sebagai contoh apabila kamu cuba untuk meletakkan hukum yang memang secara total tidak sesuai dan mengancam kamu dalam kehidupan dogmatisme kamu di tempat lain, manakala menggunakan alasan/hukum agama yang lainnya sebagai salah satu solusi escapist kamu untuk melepaskan diri dari hukum yang lainnya. Anda pernah dengar yang mana kamu semua tidak boleh hanya mengikut satu hukum yang sesuai dengan kamu pada waktu itu, dan meletakkan hukum berlawanan apabila anda merasa kurang selamat dengan tindakan sebelumnya. Dalam isu gay/lesbian, kamu mengatakan ia adalah sahih haram, kamu mendiskriminasikan mereka dan menggunakan alasan agama sebagai batu loncatan untuk kamu menang dengan hujah kamu. Tetapi dalam waktu yang sama juga, anda melanggar hukum-hakam keagamaan kamu yang lainnya dalam kamu menghayati keseronokan kehidupan itu sendiri. Kamu menghalalkan perkara haram (? dogmatik kemanusiaan?) tetapi sangat menarik dan indah untuk dilakukan, tetapi bagi perkara lainnya yang tidak kena atau 'bukan' diri kamu, kamu secara total dan sahih mengharamkan nya, dengan alasan 'agama' sekali lagi. Mudahnya ia dapat kita simpulkan sebagai sistem sekularisme yang kamu dukung dan agungkan. Kamu gendongkan sistem sekularisme agama kamu itu apabila kamu meletakkan sesuatu hukum tetapi menolak hukum yang lainnya yang kamu rasakan tidak sesuai dengan kamu. Adakah maksud saya ini benar? Kamu Islam Kamal Artatuk barangkali dalam perumpamaan lainnya. Dan itulah yang kamu agungkan atas nama keislaman kamu itu? Gay tidak boleh, tetapi lesbian pula dihalalkan. Bagaimana pula dengan permasalahan ini. Adakah kerana anda seorang lelaki dan kamu tetap akan terangsang apabila dua orang gadis/wanita berhubungan seks dihadapan mata kamu jadi dengan hal yang demikian, kamu menghalakan orientasi ini. Adakah ini salah satu lagi cabang diskriminasi dalam homophobik? Sekali lagi nampak nya kamu menggunakan satu hukum, tetapi menghalalkan hukum yang lainnya. Ini akan sangat lucu pada pandangan saya, adakah anda melihat wanita/gadis sebagai satu objek seksual semata, dan oleh kerana kamu 'normal' kamu melihat gay pula dengan pandangan jijik. Dan mungkin satu lagi sebab dalam diskriminasi cabang ini adalah kerana anda ingin nampak cool dan lelaki sejati kerana menolak secara total hubungan gay ini. Dalam survey berikutnya, saya ada menghantarkan beberapa set soalan dimana salah satunya berkenaan dengan hal diskriminasi terhadap golongan gay/lesbian (atau dalam hal kali ini lebih ke arah diskriminasi keatas golongan gay!). Perbincangan ini akan tetap saya teruskan untuk isu akan datang diatas rasa prihatin saya untuk menidakkan kata BASI dalam isu yang akan tetap relevan hingga bila-bila masa sekalipun. Kepada mereka yang ingin turut serta memperbincangkan hal ini boleh hantarkan komen dan pandangan anda kepada saya melalui email atau myspace atau apa jua caranya. Saya sangat ingin untuk mendengar lagi mereka yang secara total menolak golongan gay/lesbian ini untuk memberi alasan dan perbahasan mereka mengenai isu ini. Ia akan tampak lebih menarik untuk mendengar dari dua belah pihak. Juga saya akan cuba untuk mendapatkan pandangan golongan ini sendiri mengenai isu ini. Jadi kita akan dapat satu lagi cabang perbincangan yang akan lebih menarik dan baik untuk sama dikongsikan sesama kita. Terima kasih kepada mereka yang turut serta memberikan komitmen mereka dalam survey yang telah dijalankan. Saya nantikan sebarang komen lanjut dari anda semua!! Hentikan diskriminasi keatas golongan gay mahupun lesbian dan bungkam kata alasan kamu jika ia hanya didoktrinasikan oleh alasan keagamaan kamu. Berhenti menjadi biri-biri dan menelan sebulatnya apa yang kamu baca dan pelajari dari guru dan orang tua mu. Fikir, ulas, fikir, bahas dan simpulkan dengan sebaiknya, bukan menelan sebulatnya. Domba itu bodoh secara total!

prasastihujunglangit #01

Monday, May 19, 2008

Prasasti Hujung Langit # 01 - Rilis !!


Tarikh: 14 Mei 2008
Isu : 01